Aku hanya mampu panjatkan seribu kesyukuran terhadap Illahi, aku akui benar tiada yang lebih hebat dari kuasaMu Allah. Tiada apa lagi yang aku tunggukan disini, bersisakan sekeping hati yang hampir lumpuh, berbekalkan perasaan yang semakin luntur...berat hati aku turuti segala kemahuan keluarga. Mungkin ini jalan terbaik buat aku untuk lupakan apa yang telah terjadi. Sekali lagi aku penuhi keinginan ayah, dengan harapan agar pengorbanan ini dapat mengeratkan kami sekeluarga. Aku redha dan hanya berserah, aku hanya mahu melihat senyuman dari kedua orang tua yang semakin lanjut usianya. Entah berapa lama lagi aku dapat bersama mereka oleh itu aku korbankan perasaan aku sendiri demi kegembiraan orang yang aku sayangi.
Sesungguhnya dengan nama Allah, aku lakukan semua ini tanpa ada sedetik keikhlasan dihati walaupun keputusan telah dibuat. Lewat tengah malam aku kembali lagi ke tikar sejadah, aku tahu hanya satu yang boleh membantu aku.... Allah. Aku bersujud dan memohon keampuan agar aku diberi petunjuk serta hidayah. Aku memohon agar aku terus dipelihara dunia dan akhirat nanti. Untuk sekian kalinya, sebelum menjelang hari esok aku mohon agar aku tidak ulangi kesilapan dan kegagalan seperti 15 tahun dulu. Aku perlukan kekuatan untuk aku tempuh segalanya dengan hati yang tenang. Aku tahu Allah melihat dan mendengar serta sentiasa bersama hambaNya, Allah tidak jadikan sesuatu tanpa izinNya..
Semua persediaan telah diaturkan sepertimana yang telah dirancang, tiada cacat celanya. Berbunga senyuman indah dari wajah tua yang mengimpikan kebahagian anaknya. Seawal pagi lagi aku bangun dan mencuba baju nikah yang tergantung dalam bilik, serba putih dengan niat mensucikan diri dari segala dosa dan bertawakal pada Allah agar diberikan kehidupan yang lebih diberkati selepas bernikah nanti. Memandangkan hari masih terlalu awal, aku putuskan untuk keluar menghirup udara segar dan membeli sarapan. Pagi ini pagi terakhir aku membujang dan esok aku telah bergelar isteri orang. Sedang asyik aku memandu, aku terima panggilan telefon dari lelaki yang bakal menjadi suami aku sekejap lagi. Dia bersungguh ingin berjumpa dengan aku namun aku menolak dengan alasan kami akan bernikah sekejap lagi jadi tiada apa yang perlu dikejarkan. Perbualan kami dipendekkan dan termati disitu, siapa kita hendak melawan takdir Illahi, jika Allah berkehendakan sesuatu terjadi pasti akan terjadi. Aku terima pesanan ringkas darinya, pesanan ringkas yang menghancurkan setiap pelusuk harapan yang mengunung disini. Dua jam sebelum aku diijabkabulkan, segalanya telah dibatalkan tanpa sebab munasabah. Aku tenang menerima keputusan ini, jauh disatu sudut lain kelihatan ayah duduk sambil memegang kepalanya sementara yang lain dalam kebinggungan cuba memahami apa sebenarnya terjadi.
Aku langsung tidak terkesan dengan keputusan yang telah diambil oleh pihak lelaki, jauh sekali untuk menyuarakan tidak puas hati dengan apa yang telah terjadi pada disaat akhir majlis akan berlangsung. Cuma aku sedih melihat ayah dan mak seolah hilang kata untuk terus berbicara, suasana suram menyelubungi keadaan yang sepatutnya girang. Sunyi dan sugul, ayah dan mak merantapi nasib yang sekali lagi tidak menyebelahi aku. Aku masih ingat setiap baris doa yang aku pohon dari Allah tiap kali mengerjakan solat, dan doa terakhir yang aku pohon dari Allah pada malam sebelum hari pernikahan. Ya' Allah, besar kekuasaanMu, jika kau berhendakkan tiada siapa yang dapat menghalang. Segalanya terjadi sekelip mata, setiap harapan yang ada terpadam dengan sendiri. Aku cuba menjelaskan pada mak dan ayah, Allah mendengar keluhan hati aku, Allah tahu betapa aku sedang tersiksa sendiri, Allah tidak memberi apa yang aku mahukan tapi Allah pasti akan memberi apa yang aku perlukan satu hari nanti.. Allahuakbar...
Majlis ini rasminya dibatalkan hanya setelah aku siap mengenakan baju nikah, wajah sayu mak dan ayah meredupkan lagi suasana. Mak & ayah, ketahuilah aku tidak minta semuanya terjadi begini tapi Allah berkehendakan dan terjadilah. Berjurai airmata ayah hiba dengan apa yang telah berlaku, hampir rebah tubuhnya seakan hilang segala kekuatan diri. Tiada ikatan yang terjalin, tiada perjanjian yang dimeterai dan tiada cincin yang disarung dijari. Allah maha berkuasa lagi maha mengetahui. Aku hanya mampu mensyukuri segalanya, Allah melindungi aku daripada sesuatu yang bukan milik aku... ameen.
"Allah has already planned our life, if something goes wrong, it went wrong for a reason".