Friday, November 25, 2011

....Nyawa yang tersisa, aku bukan HANTU!

Menghembus nafas dari satu saat ke saat seterusnya, aku diimbas kembali dengan kemalangan yang cukup ngeri pada tahun 1994. Kejadian dimana tubuh kecil yang terlantar bersisakan nyawa yang tak ubah tergantung dihujung tanduk. Hanya dengan satu hembusan sakaratul maut aku mungkin tidak ada disini lagi ketika ini. Mungkin inilah suratannya, Allah masih menyayangi aku dan mahukan aku untuk terus hidup dimuka bumi ini. Kerana dia yang tahu belum tiba waktu untuk aku menemuinya.

"DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG"
Aku ibarat diberi peluang untuk kali kedua, setelah tubuh kecilku tercampak dan meninggalkan secubit nyawa yang tersisa. Tubuhku diusung seumpana sebujur mayat kecil, yang menantikan waktu untuk dimandikan dan dikembalikan kebumi Allah. Dalam kesibukan keluarga menguruskan segala, aku berdiri diantara sanak saudara dan sahabat handai yang berkunjung tiba. Melihat diri sendiri yang terbujur kaku membatu, telingaku dibuai dengan alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Ibu tidak henti dengan deraian airmata, along tidak jemu mengusap umbunku memanggil aku segera menyapa.

"Aku dekat sini!" puas aku menyahut panggilannya tapi tak seorang pun yang berpaling kearahku. Melihat ibu yang tak henti menangis mengharapkan aku membuka mata memandang kearahnya. Sekali lagi aku menyapa sekuat hati aku! "Z disini ibu!" aku masih membatu keliru, tak seorang diantara mereka yang menggeliling tubuh aku menyapa aku disini. Tidak terfikir difikiran ketika itu, bagaimana aku boleh berdiri dan melihat tubuh aku terkulai dalam dakapan ibu. Sedangkan tidak seorang pun yang sedar aku tegak berdiri memerhatikan apa yang berlaku. Darah yang berlumuran dikepala membasahi setiap helaian rambutku, ibu dengan tekun membersihkannya satu persatu walaupun darah yang mengalir jelas hampir membeku. Aku terus diusap dan dibelai hingga segalanya berakhir dengan kucupan ibu. Pendengaranku kian lenyap, pandanganku makin kabur dan terus gelap...aku hilang.

Hampir 2bulan aku koma, aku tak tahu apa yang terjadi lagi dan dengan keizinanNya aku kembali membuka mata. Memerhatikan tubuh yang penuh dengan kesan luka dan jahitan diserata tubuh yang masih belum sembuh sepenuhnya. Ibu tiba2 menangis lagi dan memeluk aku sekuat hati sedangkan aku sedang menahan kesakitan kerana dakapannya. Hampir 70% tubuhku bertukar wajah, disaluti dengan jahitan disini dan sana. Sakitnya hanya Allah sahaja yang tahu, bagaimana aku melayang tercampak dalam kemalangan dulu. Dimana aku mungkin hanya tinggal nama. Ibu tersentak, along berlinangan airmata bila aku mula menceritakan bahawa aku nampak setiap apa yang berlaku diwad kecemasan saat kemalangan itu berlaku. 


Masing2 memandang kearah satu sama lain, membisu seribu kata, membeku seumpama batu. Suasana menjadi diam, kami sekeluarga memanjatkan doa bersyukur pada Allah yang satu. Aku masih diberi peluang untuk meneruskan hidupku  hingga hari ini, aku tak mungkin lupa segala yang terjadi dan tak mungkin hilang rasa untuk bersyukur pada Illahi. Terima Kasih Ibu kerana menjaga aku tanpa jemu! Pintaku, moga Allah melindungimu hingga ke akhir waktu..

Allahuakbar...! Besar sungguh kekuasaanmu dan indah segala nikmatmu. 
Mungkin aku tidak sesempurna dan sehebat insan lain, namun aku punya hati masih cukup sempurna dengan adanya Allah. Biarlah ada yang membenci kerana aku ingin terus mendekatimu. Asal aku tidak pernah ada perasaan benci padamu Illahi. Biarlah aku dicaci, asal aku tidak menagih simpati duniawi. Itu cukup menjadikan aku seperti aku hari ini bagi meneruskan perjalanan kehidupan yang mungkin masih jauh lagi.... 


P/s: Cerita berdasarkan CERITA SEBENAR yang berlaku dan sama sekali bukan diciplak dari mana2 novel or blog orang lain >_< Harap maklum!